SASMEC @IIUM SANTUNI KOMUNITI KUANTAN MELALUI PROGRAM KRIS

oleh Faiz Fahmi

KUANTAN, 30 OKTOBER 2022 – Pasukan petugas SASMEC @IIUM telah menjayakan program KPT Prihatin Komuniti Sejahtera (KRIS) di sekitar Kuantan pada 29 dan 30 Oktober 2022.

Sukarelawan SASMEC @IIUM yang terdiri daripada doktor pakar, jururawat, kakitangan makmal dan staf pentadbiran telah turun padang dalam program KRIS yang telah diadakan di Dewan Serbaguna KRT Cenderawasih Timur dan Pusat Rekreasi Balok.

Program anjuran Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerjasama SASMEC @IIUM ini bertujuan untuk memberikan perkhidmatan kesihatan dan perubatan secara percuma kepada penduduk berdekatan.

Perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan adalah pemeriksaan tekanan darah, paras gula, BMI, pemeriksaan rawatan gigi, pemeriksaan sakit belakang, saringan kanser payudara, pengajaran teknik bantuan awal pernafasan CPR dan pemeriksaan kesihatan rumah ke rumah. Aktiviti senamrobik, sukaneka dan cabutan bertuah turut diadakan untuk memeriahkan majlis tersebut.

Selaras dengan konsep program yang berbentuk outreach, program ini juga bertujuan untuk memberi pendedahan, kefahaman dan kesedaran dalam penjagaan kesihatan bagi mengurangkan morbiditi dan mortaliti penduduk Malaysia.

Program KRIS di kedua-dua lokasi ini mendapat sambutan hangat daripada komuniti setempat. Prof. Dato’ Dr. Mohamed Saufi Awang, Pengarah Hospital dan Prof. Dr. Zamzuri Zakaria, Pengarah (Klinikal) SASMEC @IIUM telah hadir dalam edisi KRIS kali ini.

Setiausaha Bahagian Dasar dan Penyelidikan KPT, Dr. Wan Baharudin Wan Mahmood juga turut hadir dalam kunjungan dan pemeriksaan kesihatan rumah ke rumah di Balok.