JERAYAWARA SASMEC @IIUM BAGI PROGRAM KPT PRIHATIN KOMUNITI SEJAHTERA (KRIS) BERMULA DI BERA
oleh Faiz Fahmi
BERA, 22 Oktober 2022 – Program KPT Prihatin, Komuniti Sejahtera (KRIS) merupakan idea Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk membawa perkhidmatan kesihatan kepada penduduk di kawasan luar bandar.
Hospital Pengajar Sultan Ahmad Shah Medical Centre @IIUM (SASMEC @IIUM) menyambut baik hasrat KPT bagi memperluas program KRIS ke Pahang. Jerayawara SASMEC @IIUM bermula di Felda Tembangau, Bera hari ini.
Sukarelawan SASMEC @IIUM telah turun padang untuk memberikan perkhidmatan tersebut bagi penduduk sekitar. Seramai hampir seratus orang penduduk telah membuat pemeriksaan kesihatan yang disediakan termasuk pemeriksaan Indeks Jisim Badan (BMI), tahap gula, tekanan darah dan konsultasi kesihatan oleh pegawai perubatan.
Pengarah Hospital, Prof. Dato’ Dr. Mohamed Saufi Awang turut hadir untuk memberikan sokongan kepada para petugas di reruai SASMEC @IIUM.
Pada masa yang sama, program Moh Ngeteh Bersama Komuniti Gugusan Tembangau turut berlangsung dan dimeriahkan lagi dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Pasukan petugas SASMEC @IIUM turut berpeluang untuk bergambar bersama YAB Perdana Menteri untuk kenang-kenangan.






